Artikel

Harga Gandum, Jagung Terus Naik – Tingkatkan Jurang Bekalan Makanan Dunia

Pada akhir Februari lalu, dunia telah memperlihatkan peningkatan drastik harga gandum kepada 40% – namun paras pasaran itu kini terus melonjak kepada lebih 6% iaitu AS$12.60-1/4 segantang.

Secara langsung menjadikan ini adalah harga gandum paras tertinggi sejak 14 tahun, Mac 2008.

Tidak hanya itu, pasaran bagi bekalan jagung dan kacang soya juga turut meningkat di peringkat global. Apabila jagung telah alami kenaikkan harga 2.7% dan kacang soya naik 6.1% – ini menjadikan nilai harga kedua bahan ini tertinggi sejak 10 tahun, September 2012.

Sudah pasti apa yang berlaku ketika ini, adalah didorong hasil konflik antara Rusia-Ukraine. Untuk makluman, kedua negara ini antara negara pembekal utama bagi bahan pertanian ke pasaran Asia – dengan menyumbang 25% gandum di seluruh dunia.

Persengketaan yang berlaku, jelas memberi impak yang tinggi buat permintaan bekalan makanan. Termasuklah di Malaysia. Lebih menyukarkan, negara Eropah telah mula meningkatkan permintaan eksport mereka berhubung bekalan tersebut.

Persaingan akan menjadi lebih tinggi dan kos bahan makanan terus meningkat kepada negara Asia. Bagaimanapun, Malaysia kekal optimis dan menjamin situasi pembekalan beberapa makanan akan terus terkawal dan dijangka berakhir dalam tempoh 4 bulan mendatang.