Artikel

Masalah Kewangan Antara Faktor 17,613 Pelajar Universiti Awam – Tidak Meneruskan Pengajian

Ternyata tahun 2021 telah menyaksikan lebih 37,000 pelajar merangkumi universiti awam (UA) dan universiti swasta – membuat keputusan tidak melanjutkan serta menangguhkan pengajian mereka.

Mengikut laporan, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menggariskan tindakan tersebut meliputi 17,613 pelajar universiti awam tidak melanjutkan pelajaran mereka, manakala 5,165 pelajar UA pula memutuskan untuk menangguh pengajian mereka.

Sementara bagi pelajar universiti swasta pula memperlihatkan seramai 20,577 pelajar turut menangguh sesi pengajian mereka. Angka ini sememangnya suatu ketirisan yang tinggi buat pendidikan negara.

Berdasarkan pemerhatian, ini faktor yang mendorong kepada tindakan pelajar tersebut;

  • Isu kewangan
  • Isu kesihatan
  • Isu peribadi
  • Isu keluarga
  • Pasaran pekerjaan yang terhad

Pada masa yang sama, KPT turut menperincikan usaha pendidikan negara membantu para pelajar yang berdepan isu kesihatan mental. Setakat ini, hampir 150 kaunselor dan ahli psikologi disediakan untuk membantu para pelajar berkaitan. Ia merangkumi khidmat fizikal, atas talian seperti e-kaunseling dan melalui talian tele-kaunseling.

Melihat pada situasi ini, jika ketirisan graduan terus berlaku ia dijangka bakal memberi kesan kepada struktur pasaran pekerjaan Malaysia – khususnya dalam bidang profesional untuk tempoh beberapa tahun mendatang.