Artikel

89% Graduan Bimbang – Isu Purata Gaji Masih Tidak Selari Dengan Kos Sara Hidup

Kumpulan pelajar dan graduan pastinya memiliki pilihan tersendiri untuk menempatkan diri mereka dalam sesebuah syarikat. Melihat pada kehendak itu, ternyata Maybank terus menjadi majikan pilihan yang digemari graduan negara.

Mengikut ‘Malaysia’s 100 Leading Graduate Employers‘ – Maybank kekal dikedudukan pertama, sebagai pilihan majikan anak muda, diikuti syarikat RHB Banking Group, Petronas, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Shopee.

Secara jelas kedudukan 5 majikan teratas ini menunjukkan rata-rata kumpulan pelajar dan graduan yang terlibat meminati bidang kewangan, kejuruteraan dan digitalisasi negara.

Ini diperhatikan selain faktor penggajian yang baik, kedudukan pekerjaan yang dikira stabil juga menjadi aspek penting untuk graduan pertimbangkan demi perancangan masa hadapan mereka.

Bagaimanapun, tinjauan yang meliputi suara 32,180 responden ini kekal mengakui isu purata gaji graduan masih lagi berbangkit. Sekitar 89% berpendapat isu ini tidak selari dengan kenaikan kos sara hidup yang sedang berlaku ketika ini.

Manakala 29% daripada graduan pula memiliki prinsip yang berbeza berhubung pasaran pekerjaan. Apabila memutuskan untuk menyertai arena perniagaan selepas menamatkan pengajian tinggi.