Artikel

Ekonomi Digital Dijangka Sumbang 25.5% Pada KDNK Malaysia

Malaysia terus optimis akan peluang dan kemahiran yang dimiliki pada arena ekonomi digital, apabila menyasarkan menjelang 2025 – segmen ini bakal menyumbang kepada pertumbuhan negara sekitar 25.5%.

Malah ketidakstabilan ekonomi global pada masa ini turut menuntut negara untuk memperkasakan lagi keupayaan pasaran ke arah digitalisasi. Supaya kekal seiring dengan keperluan semasa dan berdaya saing dengan teknologi negara lain.

Langkah itu secara langsung membantu Malaysia selari dengan matlamat, mencapai purata pendapatan penduduk RM10,000 pada 2025 kelak.

Bagi makluman umum, setakat 2020 – negara telah mencapai 22.6% sumbangan ekonomi digital pada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia. Antara segmen yang mendorong peningkatan adalah medium e-dagang yang secara berterusan memaparkan lonjakan penyertaan pengguna Malaysia.

Data sehingga suku ketiga 2021, platform e-dagang berjaya menyumbang RM279 bilion pada pasaran negara.

Melihat pada situasi ini, Malaysia menjangkakan ekonomi digital akan terus alami peningkatan berikutan gagasan nirtunai dan penerapan 5G di negara sedang dilaksanakan secara berperingkat. Ini akan membantu pengguna memiliki liputan secara meluas dalam teknologi digital.