Shopee merupakan salah satu laman edagang popular di Malaysia, dan beberapa buah negara. Pada tahun lepas, Shopee juga agak aktif dalam memperluaskan penawaran mereka ke sejumlah negara lain, termasuk di rantau Eropah.
Apa pun, tidak semua yang dilihat menghasilkan kesan positif. Terbaru, Shopee mengumumkan mereka akan menamatkan operasi mereka di Perancis pada 6 Mac 2022 ini.
Selepas tarikh berkenaan, semua perkhidmatan dan bantuan selepas jualan tidak lagi akan diteruskan.
Buat masa ini, sebab disebaliknya masih tidak diketahui. Di Eropah, Shopee juga turut mempunyai operasi di Sepanyol dan juga Poland.
Pada masa yang sama, Shopee juga kini menghadapi cabaran di India, disebabkan pihak berkuasa yang tidak menyukai syarikat-syarikat dengan pelabur dari China beroperasi di sana. Sebelum ini, Garena yang turut dibawah SEA – syarikat induk Shopee, telah diharamkan penawaran permainan Free Fire di India.
Apa pun, untuk rantau Asia Tenggara, Shopee masih antara yang menerajui arena edagang, dan menjadi pilihan ramai = termasuk untuk perkhidmatan kewangan Shopee Pay dan juga penghantaran makanan Shopee Food.