Artikel

GO+ Platform Pelaburan Touch ‘n Go – Kini Miliki Lebih 2 Juta Penyertaan Pengguna

Touch ‘n Go Digital, kini secara terus memaparkan peningkatan pengguna sekitar 10.5%, kepada 16.8 juta. Kenaikan dilihat hasil dorongan penyertaan pengguna dalam segmen pelaburan.

Ternyata menerusi pengenalan GO+ di dalam Touch ‘n Go eWallet telah memperlihatkan lebih 2 juta pelabur bersama jumlah aset pengurusan sekitar RM492 juta. Data sehingga Disember 2021 itu sekaligus menunjukkan penglibatan pengguna dalam GO+ telah melonjak sebanyak 261.8%.

Prestasi semasa itu dikongsikan CIMB berhubung pertumbuhan tahun kewangan mereka yang berakhir pada 31 Disember 2021 semalam (28 Februari).

Untuk makluman pada Jun 2021, GO+ telah mencatatkan 1 juta penyertaan pengguna pada arena pelaburan mereka. Lonjakan ini secara langsung menunjukkan tahap keyakinan pengguna pada platform berterusan meningkat.

Buat pengetahuan umum, GO+ merangkumi produk pasaran modal secara langsung dengan nilai serendah RM10, dana unit amanah pasaran wang ini tidak memerlukan pihak ketiga. Aturan ini secara terus membuka ruang kepada pengguna untuk memperolehi pulangan tunai pada baki GO+. Pulangan tersebut akan dikreditkan setiap hari, pengguna boleh menambah nilai tanpa mengira waktu, dan boleh menggunakan dana tersebut.

Lebih menarik setelah mengalami beberapa penambah-baikan, medium ini diakui mematuhi Shariah buat pengguna beragama Islam.