Artikel

Agong Titah Perkukuhkan Ekonomi Negara – Agar Malaysia Tidak Ketinggalan

Istiadat pembukaan Penggal ke-5 Majlis Parlimen ke-14 pada pagi ini (28 Februari) memperlihatkan beberapa titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berhubung status ekonomi negara.

Pada sidang kali ini, Agong menitahkan kerajaan untuk terus memperkukuhkan ekonomi negara supaya Malaysia tidak terus ketinggalan. Antaranya adalah memperkasakan penerapan sains dan digital dalam pasaran negara.

Melalui perluasan pembangunan penyelidikan, robotik, kecerdasan buatan, bio-sains dan inovasi – ini tidak hanya membuka peluang pekerjaan kepada penduduk negara tetapi akan memberi impak yang tinggi pada pelaburan dan rangsangan pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Agong juga pada isu pasaran pekerjaan negara menggariskan majikan perlu bertindak mempelbagaikan kemahiran pekerja dengan membuka peluang pembelajaran kepada mereka. Langkah itu tidak hanya memberi kelebihan kepada firma tetapi dapat meningkatkan produktiviti pekerjaan negara dari semasa ke semasa. Ini termasuklah menyokong penyertaan 30% wanita dalam segmen pembuat keputusan dalam pengurusan tinggi.

Selain itu, Agong turut menegaskan segala strategi yang dirangka di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang bernilai RM400 bilion harus dilaksanakan mengikut ketetapan yang dijadualkan, demi kepentingan ekonomi negara.

Penangguhan pelaksanaan sekadar akan memperlahankan lagi rentak pertumbuhan negara.

Malah penekanan membasmi kumpulan miskin tegar menjelang 2025 juga wajar dipergiatkan oleh semua pihak. Kesemua pihak berkaitan digesa untuk mengembleng tenaga bagi mencapai sasaran tersebut. Langkah ini secara langsung akan membantu negara mencapai matlamat untuk memiliki purata pendapatan RM10,000 sebulan pada tahun 2025.

Dalam pada mengekalkan kepentingan ekonomi dan pendapatan, Agong pada masa yang sama memberi peringatan agar isu rasuah negara dapat terus dibendung dan ditambah-baik secara berterusan. Kreadibiliti ini penting untuk negara kerana ia mencermin integriti serta kecekapan pentadbiran Malaysia.

Sementara berhubung status politik pula – Agong melihat pendekatan dwi-partisan telah berjaya membawa kepada keseimbangan politik negara. Keterbukaan pihak kerajaan dan pembangkang ini berupaya membantu negara mencapai persetujuan yang lebih baik dalam semua isu berbangkit.

Mengakhiri titah tersebut, Agong menzahirkan dua lontaran nasihat pepatah pantun untuk perhatian ahli Parlimen Malaysia;

“Gunung Kinabalu sama didaki, Sungai Pahang sama direnang, jikalau semua bersatu hati, kerja yang susah menjadi senang ..”

“Busana tradisi kain bersulam, warnanya jingga berawan ralat, cukuplah berpolitik siang dan malam, fokuskan menjaga kepentingan rakyat …”