Lotus Cars, yang dimiliki 49% pegangan oleh Etika Automotive Sdn Bhd iaitu firma milik Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary kini bakal menyenaraikan segmen perniagaannya Lotus Technology pada pasaran saham.
Tindakan penyenaraian itu dilaporkan bernilai sekitar RM28.5 bilion sehingga RM34.2 bilion (£5 bilion – £6 bilion).
Berdasarkan makluman, tindakan penyenaraian ini dijangka bakal berlaku dalam tempoh setahun atau 2 tahun mendatang. Laporan turut menunjukkan Lotus kini dalam agenda meluaskan jenama mereka ke arah pengenalan kenderaan elektrik (EV) SUV, iaitu Type 132.
Ketika ini jenama tersebut melaksanakan jerayawara di China dan diikuti UK untuk pratonton buat pelabur yang berpotensi. Langkah itu seiring dengan perancangan 2028, di mana jenama ini sasar memasarkan sekitar 100,000 unit kenderaan dalam tempoh setahun dan 90,000 unit daripadanya ialah unit EV yang dihasilkan oleh Lotus Technology.
Bagaimanapun, berbalik pada isu penyenaraian – masih tiada makluman berhubung kesepakatan menyenaraikan Lotus Technology di pasaran saham Asia, London serta New York.
Buat masa ini, pihaknya turut menegaskan keutamaan mereka adalah tertumpu pada tawaran awam permulaan (IPO), tidak pada kesepakatan SPAC iaitu Syarikat Pemerolehan Tujuan Khas – seperti apa yang dilakukan Geely sebelum ini.