Artikel

JKMPay Dilaporkan – Tidak Mesra Pengguna OKU

JKMPay, projek rintis pembayaran nirtunai yang telah dilancarkan sejak 9 April 2021 lalu – kini dilihat tidak lagi menjadi sistem mesra pengguna, khususnya buat warga Orang Kelainan Upaya (OKU).

Untuk makluman, program rintis ini adalah pengagihan dana bantuan 50% secara kredit di bawah Kad Cashless JKMPay kepada pengguna terlibat dan membolehkan perbelanjaan pembelian dilaksanakan di kedai berdaftar seluruh negara.

Bagaimanapun terdapat kesukaran yang timbul pada akses nirtunai ini.

Apabila segelintir warga OKU perlu berdepan beban kos tambahan seperti pengangkutan, ketiadaan kemudahan serta sokongan sosial. Buat pengetahuan umum, pembelian barangan dengan JKMPay hanya dapat dilakukan di kedai yang berdaftar dengan Bank Islam.

Situasi ini tidak adil terutama buat warga OKU yang berada di luar bandar, berdepan kekurangan cawangan kedai panel JKM serta kedai yang berdaftar dengan Bank Islam. Tanpa sedar perkara ini telah menafikan hak pengguna.

Menyedari kesukaran itu, sekumpulan organisasi membabitkan 50 badan OKU pada hari ini (19 Februari) telah mencadangkan agar pelaksanaan medium tersebut dihentikan dan dikaji semula bersama pandangan wakil komuniti.

Kementerian Pembangunan Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) kini digesa untuk mengekalkan semula pembayaran elaun pekerja OKU (EPOKU) dan bantuan lain secara wang tunai sepenuhnya.

Gesaan tersebut tidak hanya mendapat persetujuan 50 organisasi sahaja tetapi turut disokong oleh 118 individu termasuk Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Ras Adiba Radzi.