CIMB, perbankan negara kini menjelaskan isu yang membabitkan sejumlah akaun pengguna yang disekat adalah – disebabkan ralat pemprosesan yang berlaku, membabitkan khidmat kiriman wang pihak ketiga.
Di mana ia melibatkan segelintir pengguna yang melaksanakan pemindahan dana antarabangsa ke tempatan sahaja. Isu ini berlaku apabila terdapat pemindahan yang dibuat kepada pelanggan mereka yang diproses sebanyak dua kali secara tidak sengaja. Ini mengakibatkan pelanggan yang terkesan menerima kredit duplikasi ke dalam akaun mereka, iaitu transaksi duplikasi yang menyebabkan jumlah dana yang diterima adalah dua kali ganda yang sepatut diterima oleh pelanggan.
Berdasarkan makluman CIMB sumber dana bagi transaksi duplikasi tersebut adalah daripada wang pihak bank, dan bukannya pihak pengirim mahupun penerima. Maka disebabkan perkara itu, CIMB mengambil langkah ‘menahan’ akaun para pengguna, untuk mengembalikan semula kutipan lebihan itu.
CIMB juga memaklumkan pihaknya tidak melakukan pembekuan akaun dan para pelanggan masih boleh menggunakan baki dana melebihi amaun yang terkesan di dalam akaun mereka.
Setakat ini, CIMB masih menyediakan pembuktian serta dokumentasi berhubung isu kredit duplikasi – yang terdapat pada penyata bank pelanggan. Malah skim pembayaran semula yang fleksibel turut disediakan untuk membantu para pelanggan yang terkesan.
CIMB memberi jaminan penyelesaian isu ini akan dicapai secara berperingkat, berdasarkan saranan Bank Negara Malaysia di bawah pematuhan Layanan Adil kepada Pengguna Kewangan.