Bank Negara Malaysia (BNM) setelah pengumuman prestasi ekonomi Malaysia pada suku keempat hari ini (11 Februari) memaklumkan perkembangan lanjut berhubung isu CIMB.
Pihak bank pusat kini masih memantau secara terperinci berhubung isu kesilapan pemprosesan CIMB pengguna.
Tan Sri Nor Shamsiah, Gabenor BNM menegaskan sekiranya terbukti terdapat pelanggaran peraturan, etika mahupun perundangan – pihaknya akan mengambil tindakan penyeliaan setimpalnya ke atas CIMB.
Seperti yang umum ketahui, BNM pada awal bulan ini telah memberi amaran kepada CIMB untuk memastikan pulangan lebihan amaun yang dikreditkan kepada pengguna dapat dimiliki semula, dan pengguna tidak akan berdepan sebarang bebanan kewangan luar jangka berikutan kesilapan pemprosesan bank tersebut.
Isu ini telah mengakibatkan sekitar 11,000 akaun CIMB dibekukan dan terkesan dek ‘kesilapan pemprosesan’ yang dimaklumkan.
Setakat ini, sebahagian kecil pengguna yang terkesan telah mendapat semula akaun bank mereka. Langkah penyah-bekuaan akaun itu diperhatikan masih berjalan secara berperingkat.
Meskipun terdapat perkembangan positif itu, sebilangan pengguna yang terkesan difahamkan telah mengambil tindakan perundangan susulan alami ketirisan kewangan akibat isu ini.