Artikel

Prestasi Ekonomi Malaysia Catat 3.1% – Bertambah Baik Setelah Penurunan 5.6% Pada 2020

Pertumbuhan ekonomi negara kini meningkat kepada 3.6% setakat suku keempat 2021. Aliran pemulihan ini disokong dengan lonjakan permintaan eksport dan import Malaysia.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada tinjauan Prestasi Ekonomi Malaysia ST4 melihat secara keseluruhannya negara memaparkan pemulihan pada pertumbuhan 3.1% berbanding penurunan 5.6% yang dicatatkan pada 2020.

Meskipun alami pemulihan, kedudukan ekonomi negara masih di bawah paras pertumbuhan 2019. Di mana ketika itu, Malaysia mencatatkan pertumbuha 4.4%.

Berdasarkan dapatan, aliran pemulihan suku keempat 2021 ini turut didorong oleh sektor pembuatan dengan 9.1%, perkhidmatan meningkat 3.2%, serta pertanian meningkat 2.8%.

Sementara lonjakan permintaan eksport dan import Malaysia pula masing-masing meningkat 13.3% dan 14.6%. Walaupun negara mengakui, daya pemulihan masih perlahan dan di bawah paras pertumbuhan 2019 – Malaysia berupaya melepasi kesukaran COVID-19 dan krisis bencana alam.

Untuk mengimbangi ketirisan itu, kepelbagaian aktiviti ekonomi pada tahun ini dijangka dapat merancakkan semula pertumbuhan dan perbelanjaan negara. Secara langsung mempersiapkan Malaysia untuk meneroka lebih banyak peluang pelaburan baharu.