SEC, Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Amerika Syarikat kini mendakwa Wahed Invest LLC melanggar perundangan dengan tindakan mengelirukan penggunanya berhubung promosi penerapan dana Syariah mereka.
Isu ini bermula apabila Wahed Invest didapati gagal mengimbangi semula akaun pelanggan seperti yang dijanjikan secara berkala. Iaitu dengan memberi pendedahan menyeluruh berhubung dana hak milik merangkumi laporan pengiraan serta semakan pemasaran berkaitan.
Dakwaan tersebut sekaligus turut menunjukkan syarikat tidak menerapkan dasar pematuhan Syariah secara berterusan seperti yang diketengahkan pada platform untuk tempoh September 2018 hingga Julai 2019. Ini bercanggah dengan tindakan Wahed yang memasarkan jenama mereka selaku penyedia khidmat kewangan yang mematuhi perundangan Islam serta Syariah.
Menurut Ketua Unit Pengurusan SEC, Adam S. Aderton – penasihat robo mesti memastikan bahan pemasaran syarikat tidak mengelirukan dan menimbulkan konflik kepada pelabur. Sekiranya tindakan ini berlaku ia akan mencetuskan ketirisan pada khidmat kewangan.
Susulan situasi itu, Wahed Invest LLC telah dikenakan denda penalti kawal seliaan sehingga AS$300,000 kerana melanggar aturan Seksyen 206(2) dan 206(4) Akta Penasihat Pelaburan 1940 serta Peraturan 206(4)-1(a) dan 206(4)-7.
Buat pengguna Wahed Invest Malaysia pula, tidak perlu khuatir – isu ini sama sekali tidak memberi kesan atau menjejaskan sebarang dana Syariah pengguna negara. Berdasarkan perkongsian Wahed Invest Malaysia bersama Rnggt, isu tersebut hanya melibatkan Penasihat Pelaburan Wahed di AS (Wahed Invest LLC) sahaja dan dakwaan ini tidak membawa kerugian kepada pengguna.
Isu tersebut juga diperjelaskan berlaku sebelum perluasan Wahed Invest ke Malaysia.
Untuk makluman, segala aturan Wahed Invest Malaysia hanya tertakluk di bawah Wahed Technologies Sdn Bhd – di mana memiliki penasihat Syariah tersendiri yang berperanan memastikan bahawa segala portfolio dan proses pelaburan yang dilakukan untuk pelanggan di Malaysia mematuhi prinsip-prinsip Syariah.
Malah operasi Wahed di Malaysia juga turut mendapat sokongan perlesenan di bawah penyeliaan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Ini secara terus tidak membawa apa-apa kesan kepada pengguna tempatan berhubung isu berkaitan.