Artikel

Indonesia Mula Menguji Vaksin COVID-19 Berstatus Halal Ke Atas Penduduknya

Indonesia kini memulakan ujian percubaan vaksin COVID-19 tempatan ke atas penduduknya setelah miliki kelulusan daripada pengawalselia perubatan.

Apa yang menarik penyelidikan Merah Putih yang diketuai oleh Universiti Airlangga dan Biotis Pharmaceutical Indonesia ini tidak hanya diperakui badan pemantau kesihatan tetapi pembangunan vaksinnya turut menerima pengiktirafan sijil Halal daripada Majelis Ulama Indonesia – iaitu badan ulama tertinggi Indonesia.

Menerusi perakuan halal itu, ia akan meningkatkan keyakinan penduduk Indonesia yang dianggarkan memiliki sekitar 231 juta penduduk Muslim dan membantu proses vaksinasi meningkat untuk tangani lonjakan kes negara tersebut ketika ini.

Pelaksanaan ini bagaimanapun diakui pada laporan AFP telah mengalami kelewatan dan Indonesia menyasarkan setelah fasa percubaan – pengagihan vaksin COVID-19 buatan negaranya dapat dilakukan pada pertengahan 2022 kelak kepada semua orang awam.

Tidak hanya itu, menurut Menteri Kesihatan Indonesia Budi Gunadi Sadikin, pihaknya juga bercadang menyalurkan sumbangan vaksin ini kepada negara yang memerlukan sebagai dos penggalak atau kepada kumpulan kanak-kanak berusia tiga hingga enam tahun.