Artikel

Individu Yang Tidak Menerima Vaksin, Terdedah 9 Kali Ganda Akan Wabak COVID-19

Kali terakhir Malaysia mencatatkan angka kes positif harian lebihi 5 angka adalah pada 2 Oktober lalu, kini negara mula merekodkan peningkatan kes pada minggu ini. 

Dengan jumlah lebihi 10,000 kes positif COVID-19. 

Menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada sidang media sebentar tadi berdasarkan pemantauan, sekitar 99.2% kes positif ketika ini adalah kategori 1 dan 2 iaitu tahap yang tidak memaparkan sebarang gejala. Sementara kategori 3 hingga 5 pula menyumbang 0.8% pada kes positif COVID-19 Malaysia.

Mengikut kategori kluster pula, tinjauan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dapati daripada 89 kluster baharu – Pendidikan menyumbang 58%, diikuti Tempat Kerja (22.5%) dan Komuniti (7.9%). 

Bagi menangani peningkatan kes, KKM menyeru kumpulan dewasa segera mendapatkan suntikan dos penggalak. Setakat ini, sekitar 53% dewasa telah menerima dos penggalak. 

Berdasarkan pemerhatian, bagi individu yang tidak menerima vaksin atau dos penggalak mereka 9 kali ganda lebih terdedah kepada jangkitan COVID-19 dan 62 kali ganda berdepan risiko kematian. 

Maka dengan sokongan orang awam melalui suntikan dos penggalak- ini dapat membantu sistem kesihatan serta petugas barisan hadapan melandaikan risiko kes bergejala serta kematian COVID-19 di Malaysia.

Selain Malaysia, antara negara lain yang turut memaparkan peningkatan kes Omicron ialah Singapura, Korea Selatan, Jepun, Australia, Indonesia dan beberapa negara dunia.