Artikel

Syarikat Di Cyberjaya, Twistcode Berkongsi Pengalaman Selepas 6 Bulan Laksana Kerja 4 Hari Seminggu

Kerja 4 hari seminggu telah menjadi salah satu topik perbualan ramai sejak setahun dua kebelakangan ini. Menariknya, salah satu syarikat di Malaysia turut telah mengimplementasinya sejak Julai 2021 lepas, iaitu Twistcode.

Twistcode memfokuskan kepada pembangunan penyelesaian kecerdasan buatan, AR dan juga VR. Terbaru, pengasasnya, Nurazam Malim berkongsi berkenaan syarikat berkenaan selepas 6 bulan mengimplementasikan 4 hari bekerja dalam seminggu.

Menurut beliau, selepas pelaksanaan mod kerja 4 hari seminggu, produktiviti pekerja mencapai tahap tinggi. Sebelum ini, menurut beliau pada hari Jumaat, kebiasaannya dipenuhi aktiviti seperti bermain badminton, menonton filem dan sebagainya selepas tengah hari, tetapi dengan implementasi 4 hari bekerja, maka semua memfokuskan kerja sepenuhnya dari Isnin ke Khamis.

Disebabkan oleh itu juga, para pekerja dilihat lebih bersedia – disebabkan ada ruang masa antara Jumaat ke Ahad untuk melakukan kajian, membaca, atau berehat. Jumaat ke Ahad juga tidak diganggu, melainkan perkara yang benar-benar mustahak.

Pada masa yang sama, untuk pengasas sendiri, beliau mendapat lebih ketenangan kerana hari Jumaat tidak diganggu, sekaligus membolehkan beliau melihat kepada masalah-masalah syarikat lain untuk diselesaikan.

Walaupun mengubah kepada bentuk 4 hari bekerja seminggu, tiada sebarang perubahan gaji dilakukan pada Twistcode – yang mana semestinya disukai oleh para pekerja. Malah, Twistcode juga meningkatkan gaji dari semasa ke semasa.

Apa pun, Nurazam Malim turut berkongsi mengatakan tidak semua syarikat yang mungkin sesuai implementasi masa kerja 4 hari seminggu. Tetapi, segalanya boleh diadaptasi, dan mungkin perlu dicuba oleh pemilik syarikat.