Artikel

Pengguna Bakal Depani Kenaikan Harga, Susulan Peningkatan Tarif TNB

Tenaga Nasional Berhad (TNB), kini mengenakan surcaj 3.70 sen/kWj kepada segmen komersial dan industri. Tindakan kenaikan tarif itu secara langsung, memerlukan kesediaan pengguna untuk depani kenaikan harga barang.

Surcaj – dikenakan apabila kos bahan api dan penjanaan elektrik meningkat. Ini berlaku kerana harga global arang batu melonjak sementara nilai ringgit pula menyusut.

Makluman kenaikan tarif ini sememangnya memberi tekanan kepada pengeluaran kilang dan ia akan membebankan kos pemulihan warga PKS. Menurut Persatuan PKS Malaysia – secara asasnya kos elektrik kilang akan mencecah sehingga 35%, ia bergantung kepada jenis pengeluaran produk.

Sekiranya kenaikan kos elektrik mencapai 10% bagi operasi yang menanggung bil sekitar RM100,000 sebulan – ini akan membawa kepada pertambahan RM10,000 dalam kos mereka.

Sukar untuk warga PKS menjamin kedudukan harga barangan kepada pengguna, jika situasi kenaikan tarif ini berterusan menjejaskan kos operasi mereka.

Situasi ini turut mendapat sokongan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) yang melihat semakan tarif elektrik tidak wajar dilaksanakan. Ini kerana, industri masih bergelut dengan situasi inflasi dan sekadar memperlahankan rentak ekonomi negara sahaja.