Artikel

Pendedahan Digitalisasi Masih Rendah Dalam Kalangan 1.4 Juta PKS Malaysia

Walaupun Malaysia memiliki sekitar 1.4 juta warga PKS dan 76% daripadanya adalah meliputi industri mikro – peralihan perniagaan ke arah digitalisasi masih rendah.

Ini berikutan kekurangan pendedahan serta latihan berhubung automasi mahupun teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) kepada perniagaan kecil negara.

Menurut Persatuan PKS Malaysia, seharusnya inisiatif pendedahan ini diperkasakan oleh kerajaan persekutuan untuk meningkatkan produktiviti perniagaan kecil, seiring dengan peralihan syarikat besar.

Berdasarkan pemerhatian persatuan, peniaga kecil dilihat tidak memiliki pengetahuan – namun memiliki kepakaran serta pengalaman yang mampu membawa kepada penyelesaian teknologi dalam operasi mereka. Pentadbiran wajar memanfaatkan kepentingan ini demi memajukan ekonomi negara.

Adanya sokongan pentadbiran, langkah pemacuan digitalisasi pada PKS Malaysia akan menjadi lebih rancak dan mampan.