Artikel

Malaysia Perkasa TVET, Bakal Beri Pendedahan Awal Pendidikan Kepada Pelajar Tingkatan 1

TVET, bidang pendidikan teknikal dan latihan vokasional negara kini telah menerima sokongan pembangunan modal insan bersama Badan Koodinarsi TVET Kerajaan-Industri (GTIC).

Penubuhan tersebut telah diperakukan oleh Majlis Mesyuarat TVET Negara pada hari ini (3 Februari) yang dipengerusikan Perdana Menteri Malaysia Dato’ Sri Ismail Sabri.

Melalui pembentukan ini, ia akan membantu arena TVET negara meluaskan pembangunan pekerjaan tenaga mahir bersama peluang menempatkan graduan dalam arena tersebut.

Penyertaan GTIC selaku panel sokongan pembangunan adalah meliputi 12 persatuan yang berpaksikan pada sektor industri seperti automotif, aeroangkasa, robotik, rel, telekomunikasi, teknologi makanan dan beberapa hab lain.

Untuk makluman, inisiatif ini turut memanfaatkan peruntukan berjumlah RM6.6 bilion di bawah Belanjawan 2022 – yang akan memperkasakan TVET bersama sokongan kementerian serta agensi berkaitan.

Ketika ini, terdapat 1,295 penyedia TVET melibatkan awam dan swasta dicatatkan diseluruh Malaysia yang menawarkan pengajian peringkat rendah serta diploma kepada graduan negara. Dijangka penawaran itu akan meningkat dan dapat menjadikan bidang TVET setara dengan lulusan akademik lain demi kepentingan ekonomi Malaysia.

Sebagai langkah awal, kerajaan kini mengiktiraf Diploma Vokasional Malaysia (DVM) sebagai laluan ke rangkaian universiti teknikal awam iaitu UNIMAP, UTeM, UTHM dan UMP. Lebih menarik pendedahan bidang TVET ini turut akan dilakukan di peringkat awal persekolahan kepada pelajar Tingkatan 1 yang akan dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kelak – untuk membantu pelajar membuat pilihan berdasarkan kecendurangan minat mereka.