Artikel

MPOB Sasar Penggunaan Jentera, Teknologi Menyeluruh – Menjelang 2025

Lembaga Minyak Sawit Malaysia, kini mempergiatkan usaha pelaburan mereka dalam meningkatkan hasil sawit negara. Rancangan itu sekaligus membawa kepada penerapan jentera serta manfaat teknologi pada proses pengeluaran kelak.

Inisiatif menjelang tahun 2025 ini, secara langsung akan membantu industri mengurangkan tahap kebergantungan ke atas tenaga buruh asing.

Tidak hanya itu, ia turut dapat meminimumkan hasil terbiar yang tidak dapat dituai oleh negara susulan ketirisan tenaga kerja.

Maka untuk merealisasikan kemudahan itu, pelaburan pada penyelidikan serta inovasi wajar diperkasakan oleh syarikat perladangan pada industri tempatan. Di mana peralihan proses tuaian secara konvensional kepada automasi memerlukan penyelidikan secara berkala, bagi memastikan penerapan ini meningkatkan daya pengeluaran dan tidak menjejaskan kualiti sawit negara.

Antara jentera automasi yang telah dimiliki industri tempatan adalah Cantas Elektrik, mesin yang berperanan memotong tandan sawit. Dalam tempoh 3 jam alat ini berupaya menuai sekitar 200 tandan pokok sawit. Lebih menarik, ia juga berupaya mengurangkan kos penuaian sehingga RM1,000 setahun.

Mengikut laporan manfaat ini, turut mendapat sokongan pentadbiran apabila menyarankan kepelbagaian ekonomi dalam sawit negara diwujudkan. Ini bermakna negara seharusnya tidak tertumpu kepada komoditi eksport sahaja. Variasi pengeluaran produk berasaskan sawit bakal membawa kebaikan kepada pertumbuhan dan meningkatkan penglibatan generasi muda dalam industri sawit tempatan.

Setakat ini, negara masih menerapkan kaedah konvensional pada proses penuaian sawit dan bergantung pada tenaga asing. Perubahan kaedah kepada automasi tersebut dijangka dapat dicapai dalam tempoh 3 tahun mendatang.