Artikel

Starbucks Jangka Akan Terus Menaikkan Harga Minuman

Starbucks Corp, syarikat multinasional rantaian jenama kopi global kini menjangkakan harga jualan akan terus meningkat susulan dihimpit bebanan inflasi serta kenaikan kos tenaga kerja. 

Jangkaan ini bukanlah perkara yang mengejutkan. Apabila sepanjang 4 bulan lalu, kenaikan harga jualan telah dilaksanakan sebanyak dua kali iaitu pada Oktober 2021 dan Januari 2022 oleh pengurusan disebabkan gangguan rantaian kopi serta penambahbaikan semula operasi rentetan kerugian COVID-19 sebelum ini.

Buat pengetahuan umum, Brazil selaku pengeluar biji kopi mentah terbesar dunia telah mengalami penurunan jumlah pengeluaran biji kopi sebanyak 22.6% pada 2021 tahun-ke-tahun. Ini secara langsung telah menyebabkan biji kopi Arabica didagangkan pada harga AS$2.50 setiap paun di pasaran New York, ia adalah harga tertinggi dalam tempoh 10 tahun dan meningkat dua kali ganda dalam masa setahun sahaja.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kevin Johnson, langkah kenaikan harga adalah seiring dengan situasi semasa. Ini memerlukan tuntutan syarikat untuk mengimbangi semula tekanan kos yang sedang didepani operasi.

Meskipun hanya menggariskan jangkaan peningkatan secara am, kenyataan ini turut berupaya mempengaruhi penetapan harga pada jualan tempatan di Malaysia.

Ketika ini, Starbucks Korea telah memaklumkan peningkatan harga kopi pada pasaran mereka bermula Januari lalu – sementara cawangan lain pula masih tidak mendedahkan sebarang kenaikan harga termasuklah Malaysia.

Setakat ini, bagi suku keempat tahun lalu – Starbucks memaparkan lonjakan keuntungan 31% kepada AS$816 juta, manakala hasil pula meningkat 19% kepada AS$8.1 bilion, lebih tinggi berbanding suku sebelumnya.