Thailand tidak lama lagi bakal mengeluarkan garis panduan berhubung perolehan lesen bank digital di negara mereka, pada Jun 2022 iaitu akhir suku kedua kelak.
Ini secara langsung menunjukkan persediaan Bank of Thailand (BOT) menyertai Malaysia dan Singapura ke arah pemerkasaan arena teknologi kewangan melalui pembangunan bank digital. Di mana berupaya merancakkan penyelesaian kewangan negara dan memantapkan aliran perbelanjaan dalam kalangan pengguna, dengan perluasan akses lebih berganda.
Pelaksanaan ini masih diperingkat pertimbangan dan di bawah perundingan awam bertajuk “Menempatkan Semula Sektor Kewangan Thailand untuk Ekonomi Digital Mampan,” BOT memaklumkan ia bercadang untuk menyediakan lebih ramai pemain akses kepada infrastruktur kewangan utama seperti sistem pembayaran dan mekanisme jaminan kredit pada kos yang lebih adil dan munasabah.
Mengikut laporan, Gabenor Sethaput Suthiwartnarueput menyatakan usaha mencorakkan kembali alur sektor kewangan Thailand perlu mencapai keseimbangan yang betul antara menggalakkan inovasi dan mengurus risiko serta membenarkan fleksibiliti dalam menangani perubahan mendadak.
Adanya penyertaan Thailand pada pemerkasaan bank digital ini ia akan merancakkan lagi ekonomi Asia. Malaysia pada masa yang sama, masih menanti keputusan pengumuman Bank Negara Malaysia (BNM) yang akan menggariskan 5 lesen bank digital yang terpilih pada suku pertama 2022 ini.