Artikel

IKEA Malaysia Mula Beralih Ke Pembayaran Parkir Nirtunai Sepenuhnya – Secara Berperingkat

IKEA Malaysia, syarikat perabot global kini dilihat mula menamatkan penawaran pembayaran kupon serta pembayaran mesin layan diri di dua buah cawangan tempatan, iaitu IKEA Cheras dan IKEA Damansara.

Penamatan penggunaan ini secara langsung selaras dengan lonjakan penggunaan nirtunai di negara.

Berdasarkan makluman pada kedua-dua cawangan tersebut, para pengguna diminta untuk memastikan baki kad Touch ‘n Go mereka sekurang-kurangnya di paras minimum RM20 sebelum memasuki kawasan tempat letak kereta. Pengguna juga tidak perlu gusar, kemudahan tambah nilai turut tersedia dan boleh didapati di beberapa lokasi.

Untuk IKEA Cheras ia boleh didapati di ATM Maybank serta MyNews, Watsons, Caring, FamilyMart dan ATM CIMB di MyTOWN. Sementara IKEA Damansara pula, selain menggunakan TNG, penggunaan kad debit dan kad kredit turut boleh digunapakai pada kemasukan parkir.

Setakat ini peralihan ke arah nirtunai hanya dilihat pada IKEA Cheras dan Damansara sahaja, manakala IKEA Tebrau dan IKEA Batu Kawan masih lagi menerapkan penggunaan kupon dan pembayaran mesin layan diri di cawangan tersebut.