Bagi memastikan akses bekalan runcit seperti barangan asas, bahan mentah serta keperluan lain dapat dinikmati oleh para pekerja ladang – FGV Holdings iaitu Felda Global Ventures kini sediakan Kedai FGV bergerak untuk manfaat petugas.
Pelancaran kedai bergerak perintis ini telah dilaksanakan di Sampadi, Sarawak.
Atas faktor jarak kedai runcit yang jauh dari penempatan pekerja ladang, ini mencetuskan idea untuk FGV tampil dengan kedai bergerak sendiri – bagi penuhi keperluan tersebut. Lebih menarik jualan kedai bergerak ini turut menyediakan kemudahan bayaran nirtunai (tanpa tunai), untuk memacu kewangan digital negara.
Di mana para pekerja boleh melakukan pembayaran nirtunai melalui aplikasi dompet digital FGV, usaha itu secara langsung tidak hanya mengikuti gagasan teknologi negara tetapi membantu pekerja menguruskan kewangan mereka dengan lebih cekap.
Buat pengetahuan umum, aplikasi itu tidak hanya menyokong agenda kedai fizikal FGV tetapi turut digunapakai dalam pengagihan gaji pekerja ladang. Ini secara langsung menunjukkan FGV telah mencapai 100% pelaksanaan secara digital dalam tindakan tersebut, dan ia memudahkan sekitar 23,716 pekerja ladang mereka pada manfaat teknologi.