Artikel

Warga Emas Di Asia Lebih Bersedia Terima Teknologi Digital, Berbanding Eropah

Ternyata warga emas di negara Asia kini dilihat lebih bersedia menerima akses teknologi digital berbanding rakan seusia mereka di negara barat.

Euromonitor International, firma penyelidikan dunia pada laporan Top 10 Global Consumer Trends 2022 itu dapati semakin ramai warga emas di Asia berusia 60 tahun dan ke atas – telah mula beralih menyertai media sosial, permainan dalam talian serta perkhidmatan secara maya.

Sebagai contoh hampir 50% responden warga emas di Asia-Pasifik dilihat gemar menggunakan medium Twitter beberapa kali dalam masa sehari berbanding pengguna warga emas di Eropah (28%) dan Amerika Utara (36%).

Tindakan ini tidak hanya mengikuti aliran semasa, tetapi memudahkan mereka memperolehi maklumat secara terus dan memanfaatkan norma baharu di kediaman mereka.

Tidak hanya penggunaan media sosial sahaja, bahkan penggunaan pada aplikasi perbankan juga mula mendapat perhatian warga emas. Apabila, secara globalnya didapati 45% pengguna berusia 60 tahun ke atas akan menggunakan aplikasi bank sekurang-kurangnya sekali dalam masa seminggu.

Walaupun skala penggunaan masih perlahan, ini berita baik untuk teknologi dunia.

Ekoran peningkatan populasi warga emas dijangka meningkat 65% menjelang 2040, pelbagai usaha dalam memudahkan pemahaman warga emas ini wajar diperkasakan. Ia tidak hanya untuk warga emas di Asia tetapi meliputi seluruh warga emas di dunia.

Menurut Euromonitor, apa yang penting – peningkatan pendedahan internet dan peranti pintar harus diperluaskan untuk penuhi gagasan tersebut. Termasuklah di negara sedang membangun dan negara miskin.