Artikel

Aplikasi MY2022 Olimpik Beijing Dilaporkan Miliki Kelemahan Gugat Keselamatan Data Atlet

Seperti yang umum ketahui, China kini menyediakan aplikasi MY2022 untuk kegunaan semua pihak yang terlibat dalam Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing bermula 4 Februari kelak.

Mengikut laporan, aplikasi yang dibangunkan oleh Jawatankuasa Penganjur Beijing disemak memiliki kelemahan keselamatan apabila Citizen Lab Toronto memaklumkan kaedah transaksi data pada sistem berpotensi digodam dengan mudah.

Kelemahan itu didapati melalui versi iOS apabila pihak semakan menemui aplikasi gagal mengesahkan sijil SSL yang diperlukan untuk pengesahan identiti tapak web. Situasi ini berpotensi dieksploitasi oleh penggodam.

Untuk makluman, aplikasi ini berperanan menjejaki dan berkongsikan maklumat perubatan meliputi COVID-19 dalam kalangan para atlet dan petugas. Ia diwajibkan penggunaannya.

Bagaimanapun laporan Reuters, susulan pendedahan ini pihak jawatankuasa masih tidak memberi maklum-balas berhubung keselamatan siber ini. Setakat ini, antara negara yang telah menzahirkan tindakan boikot mereka adalah Jepun, Australia, Britain dan AS.