Artikel

Kos Hidup Naik: Restoran Mungkin Kurangkan Saiz Makanan, Pada Harga Sama

Tidak lama lagi, rakyat Malaysia mungkin akan disajikan hidangan yang lebih kecil berbanding kebiasaan – sewaktu membeli makanan di kedai, restoran mahupun di tepi jalan.

Jangkaan ini berikutan kesukaran yang didepani oleh pembekal bahan mentah dan pengusaha perniagaan makanan di Malaysia. Rakyat negara perlu membayar pada kadar yang sama meskipun terdapat pengurangan bahagian makanan, atau lebih teruk pengguna terpaksa membayar harga yang tinggi pada saiz hidangan yang lebih kecil.

Jangkaan itu diakui Persatuan Restoran dan Tukang Masak Pan Malaysia Koo Soo, apabila peningkatan kos dalam penyediaan makanan telah mempengaruhi harga jualan makanan kepada pengguna.

Orang awam perlu sedar, ketirisan bekalan mentah disebabkan krisis global dan bencana banjir yang berlaku dalam pasaran tempatan – telah membawa kepada kenaikan kos.

Malah tidak hanya desakan kos tersebut tetapi peningkatan kos sewaan lokasi perniagaan juga turut mendorong pada kenaikan sesetengah harga makanan. Maka menurut Persatuan Pemilik Restoran India Muslim Malaysia (Presma) untuk mengimbangi situasi tersebut, pengusaha makanan kelak terpaksa mengurangkan bahagian hidangan makanan kepada pengguna.

Selain berdepan kesukaran kos, mengikut laporan kekurangan tenaga kerja juga kini merisikokan pengusaha makanan. Pihaknya perlu akur, bidang pekerjaan ini kurang mendapat sambutan dari warga tempatan – maka kebergantungan pada pekerja asing juga akan terus tinggi.

Melihat situasi ini, walaupun tiada jangkaan selama mana ia akan berlarutan – rakyat Malaysia perlu sedar akan situasi semasa dan pihak berkepentingan juga perlu memainkan peranan mereka dalam membantu peniaga menampung semula peningkatan kos yang sedang berlaku. Jika tidak, ini akan menjadi norma buat ekonomi negara.