Artikel

Pengguna Kini Boleh Membayar Dengan Imbas Kad Debit Di Telefon Sahaja

Peniaga tempatan, khususnya pengendali perniagaan kecil atau pengusaha tunggal kini boleh menawarkan kaedah pembayaran imbasan melalui telefon pintar kepada pengguna.

Secara ringkasnya, pembeli boleh mengimbas kad debit pada paparan telefon pintar mereka, ketika melakukan transaksi pembayaran.

Penyelesaian yang dibawa oleh PayNet – Payment Network Malaysia ini secara terus akan membantu peniaga menawarkan kaedah pembayaran pada kos minimum terhadap pengguna. Untuk maklum, para peniaga boleh menggunakan mana-mana telefon pintar berasaskan Android yang disokong dengan teknologi Komunikasi Medan Berdekatan (NFC) untuk menerima dan memproses pembayaran MyDebit, dan bukannya bergantung pada terminal tempat jualan (POS) kad tradisional.

Tidak hanya perniagaan kecil, kumpulan penjaja, peniaga pasar malam atau peniaga tepi jalan juga turut boleh menyediakan penyelesaian pembayaran ini pada operasi mereka. Dengan hanya telefon pintar bersama pelan data – peniaga boleh menerima pembayaran kad debit daripada pelanggan tanpa perlu menanggung kos penyelenggaran transaksi.