Artikel

Jumlah Pengangguran Malaysia Menurun, Bawah 700,000 Penganggur – Terendah Sejak April 2020

Tatkala ekonomi negara dalam fasa pemulihan, ketika ini segmen pengangguran Malaysia mula menunjukkan aliran positif apabila mencatatkan penurunan pada jumlah pengangguran setakat November 2021.

Di mana, Malaysia kini telah merekodkan sekitar 694,400 penganggur. Angka di bawah 700,000 penganggur ini adalah rekod paling terendah sejak catatan April 2020 direkodkan. Penurunan sehingga 1.5% atau 10,600 penganggur ini jelas memberi petunjuk, struktur penawaran peluang pekerjaan Malaysia semakin baik.

Untuk makluman, November 2021 menunjukkan pertambahan sekitar 45,100 pekerja telah dicatatkan. Selain penawaran pekerjaan semakin meningkat, daya keaktifan pemohon pekerja juga turut memaparkan lonjakan.

Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) ini turut menjangkakan, momentum penawaran tenaga buruh akan terus meningkat baik. Meskipun negara berdepan krisis bencana banjir tetapi ia dianggarkan tidak memberi kesan yang ketara kepada arena pekerjaan negara.

Susulan kesan krisis hanya memberi impak pada kawasan setempat sahaja, ia tidak memberi kesan kepada pasaran buruh Malaysia. Akan tetapi pentadbiran negara kekal berwaspada akan perubahan permintaan global, khsusnya melibatkan kesan pada ekonomi global – yang secara langsung akan mengubah dinamik ekonomi negara.