Makanan segera sememangnya enak di makan, lebih-lebih lagi ketika ia ditawarkan pada harga dan promosi yang berpatutan. Itulah yang sedang berlaku apabila McDonalds dilaporkan, lebih beri tumpuan pemasaran di negara yang berpendapatan sederhana rendah.
Berdasarkan tinjauan Pencegahan dan Kesihatan Pemakanan BMJ, di bawah Dr. Omni profesor fakulti kesihatan Universiti New York bersama kumpulannya – mereka mendapati pengiklanan McDonalds adalah berbeza mengikut status kewangan sesebuah negara.
Di mana rangkaian makanan segera itu dilihat menawarkan 40% insentif melibatkan promosi dan ganjaran menarik kepada negara yang berpendapatan sederhana rendah.
Sedangkan, bagi negara yang berpendapatan tinggi – hanya memiliki 14% sahaja insentif melibatkan promosi serta ganjaran lain.
Pihak penyelidik menyimpulkan situasi ini untuk meningkatkan minat pembelian makanan pengguna. Ini kerana faktor pendapatan yang rendah, mengehadkan perbelanjaan mereka di rantaian makanan segera.
Tidak hanya itu, rangkaian ini juga turut menjadikan media sosial seperti Instagram sebagai pendekatan untuk pemaparan visual makanan. Melalui pemerhatian data selama 4 bulan, sekitar 324 perkongsian paparan iklan akan diterima negara berpendapatan sederhana rendah – berbanding 227 paparan iklan diterima negara kaya.
Maka tidak hairanlah sekiranya peratusan penyakit kronik di negara sedang membangun terus meningkat. Ini kerana tawaran harga promosi dan pemaparan budaya makanan segera pada media sosial, seolah-olah telah memupuk idea bahawa ianya suatu kebiasaan dalam pemakanan masyarakat.
Untuk makluman, data setakat 2019 oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), Malaysia memiliki kadar kegemukan sekitar 65%. Kegusaran data yang tinggi ini turut disumbang oleh gaya pemakanan masyarakat yang kurang sihat.
Lebih membimbangkan, tidak hanya golongan dewasa bahkan kanak-kanak di Malaysia juga terdedah pada peningkatan sumbangan kadar kegemukan itu.