Permintaan buruh asing dunia ternyata semakin meningkat, apabila bilangan pekerja asing mula menunjukkan lonjakan setakat Jun 2021. Di mana terdapat pertambahan 5 juta pekerja asing yang dicatatkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
Ini bererti pertambahan itu membawa peningkatan jumlah pekerja asing kepada 169 juta di peringkat global.
Peningkatan ini secara langsung telah meningkatkan kebimbangan pada aspek keamanan, kualiti taraf hidup, serta paras pendapatan yang masih rendah dalam kalangan pekerja asing.
Setakat ini, lebih dua pertiga pekerja asing berhijrah ke negara kaya untuk memenuhi permintaan buruh ekonomi di negara tersebut. Merangkumi 63.8 juta di Eropah dan Asia Tengah, sementara 43.3 juta pula di Amerika Syarikat (AS).
Manakala negara Arab, Asia Pasifik pula menempatkan kira-kira 24 juta dan Afrika memiliki 13.7 juta pekerja asing.
Apa yang turut dibimbangi juga adalah, peningkatan 10% pekerja asing yang berusia 15 tahun sehingga 24 tahun telah dicatatkan sejak 2019. Meskipun angka peratusan ini masih kecil dan ia masih di dominasi oleh pekerja asing yang berusia 25 tahun sehingga 64 tahun, tetapi secara langsung situasi ini menunjukkan kadar pengangguran tinggi sedang berlaku dalam negara membangun.
Maka ILO mengesa negara membangun untuk meningkatkan pendekatan tawaran buruh domestik, merangsang inovasi serta meningkatkan kemahiran pekerja negara demi kepentingan ekonomi tempatan.