Artikel

Bagaimana Sambutan Tahun Baru Cina, Beri Kesan Pada Perniagaan?

Sememangnya mana-mana perayaan memiliki aura kemeriahan tersendiri, termasuklah sambutan Tahun Baru Cina yang bakal berlangsung tidak lama lagi. Iaitu pada awal Februari 2021 kelak.

Ia adalah suatu aturan rasmi yang yang sentiasa diraikan oleh penduduk dunia. Bagaimanapun semua pihak perlu ketahui kesannya ke atas ekonomi dan perniagaan global sebelum sambutan tersebut berlangsung.

Semua sedia maklum, China dikenali sebagai peneraju ekonomi dalam segmen eksport global dan turut meneraju industri pembekalan serta perkapalan antarabangsa. Meskipun sambutan ini dianggarkan berlangsung dalam beberapa hari sahaja – tetapi pengguna perlu sedar kebanyakan premis, firma pengeluaran kilang dan perniagaan akan ditutup sekitar 10 hari atau 2 minggu sebelum perayaan tersebut berlangsung.

Tindakan itu secara terus akan membawa kesan pada dinamik pengeluaran eksport dan import permintaan global.

Operasi Pengeluaran Perniagaan Akan Alami Penangguhan

Tidak seperti perayaan yang lain, meskipun kita mengambil cuti tetapi sesetengah perkhidmatan masih lagi diteruskan dan beroperasi secara hibrid. Namun perayaan Tahun Baru Cina sedikit berbeza di negara China, di mana penutupan hampir menyeluruh akan berlaku.

Ini akan membawa kepada ratusan juta pekerja mengambil cuti dan pulang ke kampung halaman masing-masing. Tempoh percutian perayaan ini sekaligus menjadi antara percutian perayaan yang akan memperlihatkan pergerakan manusia terbesar di dunia.

Apa yang lebih membimbangkan walaupun cuti telah tamat, ada di antara pekerja tidak akan kembali pada operasi. Situasi ini secara jelas meningkatkan bebanan kebergantungan ekonomi terhadap eksport dan import China. Antaranya seperti kebergantungan Korea Selatan terhadap pasaran China.

Firma penghantaran kargo juga turut memberi amaran kepada pengguna bahawa rangkaian logistik China perlu berada di pelabuhan dalam tempoh 2 minggu sebelum cuti dilaksanakan. maka tidak hairanlah mengapa sesetengah pembelian mengalami kelewatan penghantaran.

Pasaran Saham Turut Beralih Sepi – Termasuk Di Malaysia

Apabila China menutup pasaran saham selama seminggu, momentum dagangan saham akan terhenti – tambahan aktiviti pemberian angpao yang menjadi tradisi ketika perayaan akan mendorong kepada pengeluaran tunai yang tinggi dalam sistem perbankan.

Ia secara langsung mewujudkan ketidakseimbangan pada aliran turun naik saham yang ditutup.

Buat pengetahuan umum, langkah penutupan pasaran juga turut diperlihat pada negara Asia lain. Tidak hanya Singapura dan Hong Kong tetapi Malaysia bersama Indonesia, Vietnam dan Korea Selatan juga menunjukkan momentum pasaran yang sama. Ini kerana negara terlibat memiliki kumpulan penduduk Cina yang besar.

Urusan Perbankan, Percukaian Secara Fizikal Akan Tergendala

Situasi ini tidak perlu dilihat pada peringkat antarabangsa, rata perbankan di Malaysia akan mengalami penutupan dalam tempoh 4 hari. Secara langsung, orang awam perlu merancang urusan manual perbankan mereka dengan baik.

Termasuklah sistem percukaian negara Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) turut akan alami penangguhan. Walaupun sistem atas talian masih aktif, penangguhan urusan secara fizikal turut mendorong kepada kesan negatif ekonomi negara.