Artikel

Bank Dunia Gesa Sistem Percukaian Malaysia Perlu Lebih Progresif, Selaraskan Agihan Dana

Bank Dunia, sejak Disember 2021 telah memberi penekanan pada pentadbiran negara berhubung pelaksanaan sistem percukaian. Pemerhatian yang dilakukan merangkumi penurunan hasil cukai sejak 2012 lagi.

Di mana peratusan hasil kutipan pada Keluaran Dalam Negara (KDNK) diperhatikan semakin menurun.

Seharusnya melalui Lembaga Hasil Dalam Negara (LHDN) perlu meningkatkan daya progresif pungutan cukai negara atau kaedah lain adalah mengembalikan semula penerapan GST iaitu sistem Cukai, Barangan dan Perkhidmatan.

Usul tersebut sebelum ini telah mengambil perhatian Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) bagi mengukuhkan semula dasar fiskal Malaysia untuk jangka masa sederhana. Cadangan tersebut turut diterima baik oleh firma Ernst & Young – apabila memaklumkan penerapan GST membantu syarikat menuntut kembali input cukai itu dan ini akan mengawal peningkatan kos.

Selain itu, penyaluran hasil cukai juga harus diselenggara dengan baik pada pembangunan serta perbelanjaan Malaysia. Ia kerana perolehan yang tinggi tidak menjamin cara pengagihan yang tepat. Melalui cadangan ini pentadbiran negara seharusnya mengambil kira perhatian pemerhati ekonomi dunia dalam memulihkan kembali pertumbuhan negara. Langkah yang tepat berupaya membawa pulangan yang lebih kepada ekonomi dan rakyat Malaysia.