Ekosistem perniagaan tempatan dilihat semakin melonjak, di mana kelak ia dijangka menyumbang 50% ke atas Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menjelang 2030.
Meskipun terdapat potensi yang baik ini, tidak dinafikan masih terdapat kelemahan yang dipaparkan dalam sistem perniagaan Malaysia. Ini secara tidak langsung memperlahankan perluasan ekonomi negara.
Berbekalkan pengalaman 11 tahun dalam pembangunan integrasi sistem Malaysia, Sheikh Ezaiddin mula menjadikan kekurangan tersebut sebagai titik permulaan dirinya bersama Ejen2u untuk mengubah dinamik pasaran tempatan.
Ejen2u – Bawakan Kelainan Dalam Pengurusan Ejen Secara Digital
Ejen2u, adalah sebuah platform yang dibentuk sejak 2019 dengan menawarkan akses pengurusan kumpulan ejen bagi sesebuah syarikat di pasaran Malaysia. Bertindak selaku komponen yang memberi kemudahan, Ejen2U sama sekali tidak akan terlibat pada sebarang operasi pengurusan, mereka secara amnya menyediakan platform pengurusan ejen mengikut kesesuaian yang diinginkan oleh para Pengasas.
Platform yang memiliki penyertaan lebih 200 buah syarikat bersama lebih 200,000 ejen ini berperanan memudahkan pengasas syarikat untuk mengatur aliran operasi kumpulan, khususnya buat entiti yang memiliki kapasiti ejen yang besar.
Untuk makluman, setakat ini penyertaan di bawah Ejen2u memperlihatkan syarikat segmen kecantikan, makanan, kesihatan, fesyen dan perkakas kediaman.
Apa yang menarik, Ejen2u memiliki keupayaan memenuhi pengurusan pelbagai peringkat – multi-tier, meliputi syarikat induk, peneraju stokis, stokis, ejen dan dropship. Ia membolehkan semua peringkat pekerja memiliki akses sendiri dalam platform.
Di mana para petugas boleh melihat prestasi mereka pada platform dan turut dapat dipantau secara langsung oleh pengasas, dari aspek jualan, perolehan dan kerugian yang didepani. Buat pengetahuan umum, syarikat induk akan memiliki akses rekod data ejen, jualan syarikat, jualan produk syarikat serta pencapaian ejen syarikat.
Fungsi Ejen2u dalam membuka ruang pengurusan ejen terhadap pengasas syarikat produk ini juga secara tidak langsung membuka peluang ekosistem yang baik buat para ejen.
Ini kerana sekiranya kemudahan ini tidak ditawarkan – sukar untuk pengasas syarikat mengetahui atau mengenali ejen-ejen kecil mereka yang turut menyumbang kepada pulangan syarikat. Melalui paparan platform, pengasas dapat memantau dan menyemak latarbelakang ejen dari semasa ke semasa.
Kemudahan Khidmat Ejen2u, Cetus Lonjakan Perolehan Syarikat Sehingga Cecah RM3 Juta Sebulan
Pada perkongsia bersama Rnggt, Ejen2u memaklumkan ada diantara pengasas syarikat makanan yang telah menyertai khidmat mereka, mengalami perubahan drastik. Sekiranya sebelum ini, entiti tersebut hanya beruapaya perolehi pulangan sekitar RM200,000 sebulan kini ia berjaya mencapai sekitar RM2 juta sehingga RM3 juta dalam tempoh sebulan.
Lebih membanggakan peningkatan jumlah ejen syarikat tersebut turut meningkat sehingga 30,000 ejen – kurang dari tempoh setahun peningkatan ini diperlihatkan oleh prestasi syarikat tersebut.
Ejen2u beranggapan, perubahan positif ini didorong hasil pemahaman kedua pihak antara penyedia platform dan pengasas syarikat dalam memahami tujuan pemasaran produk mereka.
Kejayaan itu terus menjadi pemangkin buat Ejen2U untuk mempelbagaikan lagi usaha mereka, terutama membantu PKS negara yang sering dinafikan hak kewangan mereka.
Ejen2u Sasar Tawar Perkhidmatan Di Indonesia, Menjelang Akhir 2022
Bagi perkembangan selanjutnya, buat masa ini perkhidmatan Ejen2U hanya di dapati di Malaysia sahaja, bagaimanapun pihaknya menjangkakan akan mula tembusi pasaran Indonesia pada akhir 2022 kelak.
Mengulas lanjut sasaran masa hadapan, Sheikh Ezaiddin ingin menjadikan Ejen2u sebagai platform tidak sekadar mendigitalkan operasi perniagaan pengasas tetapi ingin meningkatkan tahap kualiti ekonomi pemain industri.
Untuk makluman, di awal pembabitan Ejen2u, pihaknya menyasarkan 1 rumah memiliki 1 perniagaan. Sasaran ini bertujuan membantu orang awam, khususnya ketika negara kini sedang berdepan krisis ekonomi. Kehilangan punca pendapatan dan mengalami kerugian besar perlu ditangani dengan membuka peluang perniagaan kepada orang awam.