Artikel

Terima Kasih 2021 – Ini 14 Perkara Yang Cukup Terkesan Buat Rakyat Malaysia

Tahun 2021 sememangnya bukanlah tahun yang terbaik untuk Malaysia dalam merangsang kembali pemulihan negara.

Penulis berpendapat tahun ini, seakan-akan sebuah landskap peperangan buat rakyat Malaysia. Di mana cuba menguji ketahanan semua pihak dalam melunaskan tanggungjawab mereka. Pelbagai perkara berlaku antaranya krisis COVID-19, ketidaktentuan ekonomi global, dinamik politik Malaysia, ketirisan bantuan dan bencana banjir.

Jadi mari kita lihat 14 perkara yang akan terus menjadi ingatan buat rakyat dan ekonomi Malaysia: 

#1 – Malaysia Terus Alami Perubahan Pentadbiran, DS Ismail Sabri Kini Perdana Menteri Malaysia Ke-9

Peristiwa ini penulis kira menjadi suatu sejarah buat Malaysia – di mana di saat kita sedang berdepan krisis kesihatan COVID-19, negara pula terpaksa mengalami perubahan tampuk pimpinan. Untuk makluman pada ketika itu, kes positif COVID-19 negara mencecah paras 22,262 kes.

Ia secara langsung memperlahankan aturan penguatkuasaan dalam tangani krisis ini.

Keputusan menyeluruh memilih Dato’ Sri Ismail Sabri selaku pemimpin baharu negara ini didasari dengan 114 sokongan diterimanya dari Ahli Dewan Rakyat. Perkenan YDP Agong pada lantikan ini juga selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) di bawah Perlembagaan Persekutuan.

#2 – Kira-Kira 580,000 Isi Rumah M40 Dianggarkan Beralih Turun Kepada B40

M40, atau kumpulan kelas pendapatan pertengahan adalah mereka yang memiliki paras pendapatan sekitar RM4,850 sehingga RM10.959. Jangkaan yang dibuat jabatan perangkaan Malaysia ini secara langsung melihat sekitar 20% golongan M40 terkesan disebbakan krisis ekonomi.

Situasi ini ternyata kesukaran pandemik telah menjejaskan perolehan isi rumah negara dan data itu hanya membabitkan M40 sahaja, tidak merangkumi data menyeluruh T20 dan B40 yang turut terkesan.

#3 – Seramai 3.6 Juta Rakyat Malaysia Miliki Kurang RM1,000 Dalam Akaun KWSP

Disebab kebenaran pengeluaran i-Sinar, I-Citra, I-Lestari – ia telah membawa kesan kepada simpanan persaraan para pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). 

Setakat Oktober 2021, sekitar 3.6 juta hanya mempunyai kurang RM1000 dalam akaun mereka. Sementara 6.1 juta ahli pula mempunyai kurang RM10,000 di dalam akaun mereka.

Pakar mengatakan  pencarum yang terlibat memerlukan sekurang-kurangnya 6 tahun tambahan untuk menampung semula pengeluaran wang persaraan tersebut. Untuk makluman simpanan asas yang harus dimiliki pencarum di usia 55 tahun adalah rm240,000.

Meskipun KWSP memberi kelonggaran pada pengeluaran, pihaknya kekal  bimbang akan kesejahteraan status persaraan pencarum. Khususnya 46% pencarum yang berusia 55 tahun kini hanya memiliki kurang daripada RM10,000 sahaja di dalam akaun simpanan mereka.

Sementara hanya 27% pencarum sahaja mencapai paras Simpanan Asas RM240,000 pada usia 55 tahun.

#4 – PM Ismail Sasar Purata Pendapatan Isi Rumah Malaysia Capai RM10,000 Sebulan, Menjelang 2025

Walaupun Malaysia berdepan pelbagai kesukaran tetapi negara tetap memiliki harapan yang tinggi dalam mengubah aras ekonomi negara ke arah status berpendapatan tinggi. 

Tindakan itu untuk mengubah kualiti hidup rakyat negra dan menutup perbezaan jurang yang wujud pada hari ini. Ia turut dijangka selari dengan pertumbuhan Malaysia sekitar 5.5% dalam tempoh 3 tahun lagi.

Sekira dilihat tempoh sasaran, negara memiliki sekitar 3 tempoh lagi untuk mencapai purata amaun tersebut.

#5 – Paras Hutang Isi Rumah Malaysia Kini Lebihi 93%

Pandemik dan gangguan ekonomi sejak 2020 telah menjejaskan pendapatan rakyat – khususnya mereka yang bertugas mengikut jam atau berdasarkan kemahiran teknikal. 

Ketiadaan wang telah membataskan aliran perbelanjaan pengguna kepada negara – ini mendorong kepada peningkatan kadar hutang isi rumah.

Setakat September 2021, hutang isi rumah Malaysia kini cecah di paras 93.3% daripada KDNK dan sepanjang COVID-19 ini aliran tersebut dilihat meningkat 5.5%.

Kini data tersebut terus dibebankan dengan peningkatan inflasi di 3.3% bagi November 2021. Situasi ketika ini sememangnya tidak menyebelahi masyarakat negara, susulan bantuan tunai yang terhad dan tindakan pinjaman perlu dilakukan.

#6 – Sektor Pendidikan Terus Keciciran, Rugi AS$17 Trilion Peringkat Global

Bergelar pelajar di era COVID-19 ini bukanlah suatu perkara yang mudah. Selain berdepan halangan dalam mengikuti pembelajaran, kumpulan ini turut mengalami kerugian dari aspek kos pendapatan susulan ketinggalan pendidikan itu.

Bank Dunia bersama UNESCO dan UNICEF telah menganggarkan para pelajar berisiko kehilangan AS$17 trilion dalam bentuk pendapatan sepanjang hidup susulan kerugian kesejahteraan pendidikan yang berlaku ketika ini. 

Lebih menyedihkan kurang 3% daripada pakej rangsangan setiap negara disumbangkan untuk memperkasakan sektor pendidikan tatkala pandemik COVID-19.

Sekolah Covid

#7 – Seramai 1.87 Juta Pekerja Berpendidikan Tinggi Tidak Miliki Kerjaya Setara Kemahiran

Malaysia kini tidak hanya berdepan masalah membentuk peluang pekerjaan tetapi tawaran pekerjaan mengikut kesesuaian tahap pendidikan juga turut rendah. 

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan ekosistem negara ketika ini memiliki kekurangan permintaan buruh bagi kategori pekerjaan mahir. Maka tidak hairanlah mengapa 1.87 juta pekerja kini di bawah kategori separa mahir dan kemahiran rendah.

Melihat pada keadaan ini, sukar untuk negara penuhi lambakan graduan. Tindakan menghasilkan graduan mengikut piawaian pasaran perlu ditekankan. Ini bermakna ketersediaan kerajaan bersama sistem akademik negara wajar mencapai kesepakatan.

Jika tindakan Malaysia akan terus mempersiakan kemahiran yang dimiliki rakyat negara kepada pasaran luar.

#8 – Kerajaan Tidak Berhasrat Kenakan Cukai Windfall Ke Atas Syarikat Keuntungan Tinggi

Cukai windfall adalah cukai keuntungan luar biasa atau windfall-tax yang diusul untuk dikenakan ke atas mana-mana perniagaan yang peroleh keuntungan tinggi atau berlipat ganda sepanjang pandemik ini.

Bagaimanapun, Kementerian Kewangan (MOF) berpendapat tindakan mengenakan cukai itu perlu diteliti, untuk tidak menimbulkan sebarang persepsi negatif dari pelabur yang akan menganggap pentadbiran mengambil kesempatan.

Menurut pengamatan penulis, jika usul ini dipertimbangkan ia memberi kelebihan kepada perolehan negara untuk mengimbangi kerugian yang didepani ketika pandemik COVID-19, dan turut berupaya meningkatkan kadar bantuan tunai buat rakyat .

#9 –  Malaysia Rancang Miliki 5,000 Startup Tempatan Untuk Perkasa Ekonomi Digital

Hikmah disebalik krisis ini adalah ia membuka peluang dan ruang buat arena ekonomi digital menjadi pilihan setiap negara memacu pertumbuhan mereka, ini termasuklah malaysia. 

MOSTI – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi kini berpendapat landskap startup atau pemula berpotensi perkasakan ekonomi Malaysia. Ketika ini syarikat dan pengeluar tempatan mula memberi tumpuan pada atas talian, bangunkan aplikasi, atau mengalakan penggunaan nirtunai. 

Adanya gagasan ini ia turut akan mendorong pemacuan pertumbuhan R&D serta bahagian pengkomersial dan inovasi.

#10 – Penerapan Nirtunai Malaysia Catat 96%, Kedua Tertinggi Dalam Asia Tenggara

Bagi Malaysia pemerkasaan ke arah pembayaran digital 2021 ini tidak hanya disokong oleh penggunaan peranti pintar dan internet sahaja, ia juga meliputi penyertaan institusi perbankan dan infrastruktur kewangan negara. Sebagai contoh pengenalan aplikasi dompet digital dan penyediaan kod QR kini turut diperlihat pada platform formal.

Kesan peralihan kepada kaedah nirtunai ini juga turut berlaku disebabkan pengenaan caj pada kaedah manual seperti yuran pemprosesan cek juga telah mencetus kepada peralihan pengguna ke arah digital.

Buat pengetahuan umum, 50% rakyat negara sudah mula menggunakan pembayaran secara imbasan kod QR. Sementara penggunaan nirtunai turut disokong dengan pemilikan peranti pintar. Lebih 90% penduduk telah memiliki akses tersebut.

 

#11 – Belanjawan 2022 Peruntukan Terbesar Dalam Sejarah, Berjumlah RM332.1 Bilion

Sekiranya tahun 2021 Kerajaan Persekutuan memperuntukan RM322.5 bilion – dan menjadi peruntukan terbesar dalam sejarah Malaysia. Kini peruntukan menyeluruh bagi depani pemulihan COVID-19, peruntukan Belanjawan 2022 adalah paling tertinggi dengan RM332.1 bilion.

Pentadbiran negara melihat agihan dana ini berupaya membantu Malaysia menjadikan tahun 2022 sebagai agenda pemulihan krisis.

Untuk makluman – ini adalah senarai peruntukan menyeluruh sejak 2019;

  • 2019 sebanyak RM316.5 bilion
  • 2020 sebanyak RM299 bilion
  • 2021 sebanyak EM322.5 bilion

#12 – LHDN Dilapor Miliki Akses Maklumat Akaun Bank Pembayar Cukai, Tidak Perlu Mohon Kebenaran

Berita ini sememannya mengejutkan semua pihak dan rakyat Malaysia – di mana tertakluk di bawah pindaan baharu Seksyen 106A Akta Cukai Pendapatan, atas arahan mahkamah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memiliki kebenaran untuk peroelhi maklumat pembayar cukai tanpa perlu kebenaran mereka. Tindakan tersebut atas tujuan semakan dan siasatan. 

Perkara ini bagaimanapun menjadi persoalan rakyat negara – berhubung pungutan cukai yang tergendala, seharusnya isu kutipan cukai boleh diatasi jika LHDN melaksanakan aturan tersebut.

#13 – Inflasi Terus Beri Tekanan Kini Meningkat 3.3%

Indeks harga pengguna (IHP) yang menjadi pengukur kepada kadar inflasi kini kekal memaparkan penngkatkan dari 2.9% kepada 3.3%. 

Melihat situasi ini secara langsung menunjukkan kos sara hidup masyarakat semakin meningkat dan ia tidak selari dengan kadar gaji minimum negara yang masih ditakuk RM1,200. 

Situasi ini sekaligus akan mengurangkan tahap perbelanjaan orang awam dan meningkatkan kadar hutang negara untuk penuhi keperluan mereka.

#14 – Malaysia Berdepan Kerugian RM15 Bilion Disebabkan Bencana Banjir

Situasi negara kini semakin memburuk dengan kehadiran bencana banjir pada pertengahan Disember 2021. Krisis ini telah mengakibatkan kerosakan aset orang awam, infrastruktur, kerugian PKS, kos bantuan.

Secara purata, kerugian ini telah meragut pemilikan aset sekitar 72,000 rakyat Malaysia. Lebih membimbangkan sebahagian besar kerugian yang dianggarkan adalah melibatkan negeri Selangor. Iaitu negeri yang diklasifikasikan penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia iaitu sekitar 30%.

Tidak hanya itu, bencana alam ini turut mengakibatkan gangguan kepada operasi pengeluaran serta rantaian bekalan pelbagai kilang yang terletak di Selangor dan Pahang. Ini sekaligus memperlahankan permintaan negara dalam segmen tertentu.