Artikel

Thailand Jangka Uji Mata Wang Digital Baht, Menjelang Akhir 2022

Bank of Thailand (BOT) minggu lalu menjangkakan akan menguji Baht Digital melalui Mata Wang Digital Bank Pusat (CBDC) pada akhir 2022 kelak untuk dijadikan sebagai pilihan pembayaran alternatif buat rakyat Thailand.

Perancangan ini dilihat lebih lambat berdasarkan sasaran awal negara seharusnya dilaksanakan pada suku kedua 2022.

Melalui laporan, penggunaan wang digital ini akan melibatkan transaksi seperti deposit, pengeluaran dan pemindahan dana oleh institusi kewangan dan sekitar 10,000 pengguna.

Penangguhan ujian ini diamati sebagai langkah berjaga-jaga Thailand untuk memastikan kecekapan penggunaan kelak tidak timbul sebarang masalah.

Penyertaan bank pusat Thailand pada mata wang digital ini dilihat seiring dengan prinsip mereka yang menolak penggunaan aset digital seperti kripto. Sama seperti beberapa buah negara, Thailand melihat penggunaan kripto selaku aset pembayaran tidak menjamin kedudukannya susulan ketidaktentuan risiko.