Artikel

Pas Perjalanan Tanpa Had My50, Ganti My30 Akan Mula Dilaksanakan Pada 1 Januari 2022

Tidak lama lagi pas perjalanan My30 iaitu bernilai RM30 untuk pengangkutan awam khidmat rel dan bas di bawah pengendalian Prasaranan Malaysia Berhad akan berakhir pada 31 Disember.

Ini bermakna penguatkuasaan My50 iaitu RM50 pas perjalanan tanpa had akan mula dilaksanakan pada 1 Januari 2022, tindakan ini bertujuan menggantikan pas My30.

Menurut Kementerian Pengangkutan Malaysia pelaksanaan ini telah dicapai pada pembentangan Belanjawan 2022 pada 29 Oktober yang lalu.

Untuk makluman, data 2021 memaparkan purata jumlah penumpang harian adalah mencapai sekitar 462,246 orang awam. Ini meliputi khidmat rel dengan jumlah 324,517 individu dan perkhidmatan bas Rapid seramai 137,729 individu.

Meskipun data ini sedikit menurun berbanding sebelum penularan COVID-19 iaitu pada purata 1.1 juta penumpang. Namun kapasiti penumpang dijangka terus meningkat dari semasa ke semasa.

Pelaksanaan My50 ini akan menawarkan perjalanan tanpa had menggunakan semua perkhidmatan pengangkutan awam iaitu LRT, MRT, BRT, monorel dan bas henti-henti Rapid KL serta bas perantara Jom Naik MRT bagi tempoh selama 30 hari.