Artikel

SSM Sedia Salinan Sijil Perakuan Perniagaan Secara Percuma, Kepada Pemilik Premis Terjejas

Pemilik perniagaan yang terlibat serta terkesan susulan bencana banjir yang berlaku di beberapa buah negeri ketika ini, boleh mendapatkan salinan cetakan Sijil Perakuan Pendaftaran Perniagaan secara percuma – tanpa sebarang caj bayaran.

Usaha itu dimaklumkan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada minggu ini bertujuan membantu memudahkan proses pemilik premis dalam isu dokumentasi.

Inisiatif ini dilakukan melalui aturan Pengecualian Bayaran Bagi Cetakan Perakuan Pendaftaran kepada Pemilik Perniagaan Yang Terlibat Dengan Bencana Alam. Buat pengetahuan, pemilik perniagaan yang terkesan boleh hadir ke kaunter perkhidmatan SSM bersama laporan polis atau dokumen berkaitan. Pemilik juga boleh memaklumkan kedudukan serta alamat premis yang terkesan disebabkan banjir.

Langkah sedemikian berperanan membuktikan permis perniagaan tersebut mengalami kesan bencana.

Pemilik perniagaan tidak perlu khuatir, tempoh pengecualian bayaran bagi perolehan salinan sijil ini berkuat kuasa dalam masa 60 hari – selepas berlakunya bencana alam. Bagi makluman lanjut, boleh layari pautan SSM atau menghubungi talian 03-77214000 untuk tindakan seterusnya.