Artikel

MOF Umum Lanjutkan Tempoh Bayaran Bantuan Khas Sehingga 31 Januari 2022

Memahami kesukaran yang didepani rakyat jelata ketika ini, Kementerian Kewangan (MOF) mengambil tindakan untuk melanjutkan tempoh agihan bantuan khas kepada orang awam. Ini didasari kesan bencana banjir yang sedang berlaku pada masa ini.

Perkara itu telah dimaklumkan oleh Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Mohad Shahar Abdullah, di mana ia meliputi penerima agihan bantuan khas seperti Bantuan Keluarga Malaysia (BKM), Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan Bantuan Khas COVID-19 (BKC) yang terjejas akibat banjir.

Seperti yang umum ketahui, berdasarkan penjadualan agihan bantuan tunai ia akan berakhir pada 31 Disember ini namun lanjutan segera dilakukan, untuk menjamin kebajikan orang awam terus dilindungi.

Setakat ini, sekitar RM17.1 bilion jumlah bantuan tunai secara langsung diagihkan kerajaan untuk tempoh setahun 2021. Ia merangkumi Bantuan Prihatin Nasional, BPR, BKC dan Bantuan Kehilangan Pendapatan.

Sementara tahun 2022 pula akan memperlihatkan peruntukan RM8.2 bilion kepada BKM menerusi tabung COVID-19 negara. Dana ini dijangka memanfaatkan lebih 9.6 juta penerima.