Artikel

Bank Indonesia Lancar Sistem Pembayaran Baharu, Jadikan Caj Pemindahan Antarabank Lebih Murah

Bank pusat Indonesia- Bank Indonesia (BI) kini melancarkan sistem pembayaran runcit baharu BI-Fast bertujuan mengurangkan kos pemindahan wang antarabank dan menyokong ekonomi digital negara tersebut untuk berkembang pesat.

Laporan Reuters memperlihatkan era COVID-19 telah memperkasakan kewangan digital Indonesia, dengan pertumbuhan perbankan digital meningkat 47% bersama nilai 3,877 trilion rupiah ($269.52 bilion). Sementara aliran nirtunai pula meningkat 62% kepada 31.3 trilion rupiah.

Melalui garapan sistem baharu ini, ia akan membolehkan pemindahan wang dalam masa nyata dan selamat dilakukan sehingga 250 juta rupiah, dengan kos maksimum 2,500 rupiah (RM0.74 sen) setiap transaksi untuk pelanggan.

Pengenaan caj ini jauh dilihat lebih rendah dan murah berbanding kos semasa yang memerlukan sekitar 6,500 rupiah (RM1.92) setiap transaksi.

Memahami pemacuan ekonomi digital Asia Tenggara, bank pusat Indonesia berpendapat peluang tersebut wajar dimanfaatkan ekonomi mereka untuk mencapai jangkaan pasaran bahawa Indonesia berpeluang penuhi sasaran bernilai AS$146 bilion menjelang 2025 kelak.

Setakat ini, terdapat 21 penyedia perbankan Indonesia menyertai sistem baharu tersebut dan dijangka penglibatan itu akan mulai meluas pada minggu akhir Januari 2022 kelak.