Artikel

Krisis Global Cetus Kerugian Terhadap Pendidikan Pelajar, Hampir AS$17 Trilion

Bergelar pelajar di era COVID-19 ini bukanlah suatu perkara yang mudah. Selain berdepan halangan dalam mengikuti pembelajaran, kumpulan ini turut mengalami kerugian dari aspek kos pendapatan susulan ketinggalan pendidikan itu.

Melalui tinjauan Bank Dunia bersama UNESCO dan UNICEF iaitu The State of The Global Education Crisis: A Path to Recovery menunjukkan generasi pelajar pada masa ini berisiko kehilangan AS$17 trilion dalam bentuk pendapatan sepanjang hidup, di mana ia bersamaan dengan 14% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global.

Angka tersebut ternyata lebih tinggi jika dibandingkan dengan anggaran kerugian yang dialami pada data 2020.

Lebih membimbangkan dapatan juga memperlihatkan sehingga kini kurang 3% daripada pakej rangsangan sesebuah negara diperuntukan kepada sektor pendidikan. Kekurangan agihan secara berterusan meningkatkan lagi risiko pertumbuhan buat negara.

Untuk makluman, situasi ketirisan pendidikan global ini telah berlaku sekian lama. Sebelum tibanya penularan COVID-19 peratusan global berhubung kekangan pembelajaran telahpun mencecah paras 53%. Ia terdiri daripada kanak-kanak di negara berpendapatan sederhana dan miskin.