Artikel

Sekitar 20% Syarikat Gergasi Dilaporkan Bakal Guna Mata Wang Digital, Menjelang 2024

Penggunaan mata wang digital dan aset digital kripto kini semakin menjadi perhatian ramai. Walaupun memiliki potensi, namun kadar risikonya juga harus diteliti dengan baik.

Melihat peningkatan penglibatan pada arena digital ini, Gartner pada laporannya minggu lalu (16 Disember) menjangkakan sekitar 20% firma gergasi akan menggunakan mata wang digital selaku kaedah pembayaran, simpanan serta cagaran, menjelang tahun 2024 kelak.

Tinjauan firma penyelidikan dan rundingan teknologi global tu melihat potensi perkembangan mata wang digital bakal memberi impak yang baik kepada perluasan dan kepentingan syarikat dalam perdagangan.

Malah sifat terpencar kripto juga dapat dimanfaatkan pada segmen pelaburan ekonomi, di mana ketiadaan pemusatan kawalan akan tingkatkan kadar pertumbuhan.

Meskipun ketidaktentuan mata wang kripto kekal menjadi kebimbangan utama, namun panduan kawal-selia yang jelas sedang dibangunkan dan kemunculan CBDC (mata wang digital bank pusat) kini memberi keyakinan kepada syarikat untuk peralihan penggunaan tersebut.

Akan tetapi setiap penggunaan mata wang digital haruslah selari dengan tujuan syarikat terlibat. Ini kerana Gartner melihat penggunaan mata wang digital ini akan mengalami perubahan berlandaskan segmen perniagaan.