Artikel

PM Ismail Sabri Umum Cuti Kecemasan Kepada Petugas Awam Terkesan, Sementara Pekerja Swasta Disaran Beri Cuti Bergaji

Susulan krisis banjir yang telah berlarutan dalam beberapa hari ini, Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri kini mengumumkan Cuti Kecemasan kepada kakitangan awam yang terkesan disebabkan bencana banjir.

Makluman pada ciapan Twitter rasminya jelas memperincikan, agihan cuti tersebut adalah bertujuan membantu semua pihak yang terkesan disebabkan bencana banjir.

Tidak hanya petugas awam, syarikat swasta juga turut disarankan memberi cuti bergaji kepada pekerja yang terlibat dan terkesan akan situasi yang sama. Malah tindakan pemberian cuti ini tidak akan menolak peruntukan cuti tahunan mahupun gaji mereka.

Pada masa yang sama, Kerajaan Persekutuan turut memaklumkan akan menyalurkan RM100 juta bagi membaikpulih infrastruktur serta rumah yang terjejas susulan bencana ini. Tindakan itu akan dilaksanakan bersama kerjasama Kerajaan Negeri. Manakala penyaluran bantuan RM50 juta kepada Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) akan disegerakan bagi memastikan kelangsungan bantuan kepada isi rumah yang terkesan akibat banjir.

Pihak Kementerian Kewangan juga telah mula menerima arahan memastikan institusi perbankan bersedia untuk menawarkan program bantuan pembayaran bagi peminjam-peminjam yang terkesan akibat banjir.