Artikel

Suruhanjaya Sekuriti Semak Semula Rangka Kerja SPAC, Mula Berkuat Kuasa Januari 2022

SC atau Suruhanjaya Sekuriti pada hari ini memaklumkan penilaian semula Garis Panduan Ekuiti bagi rangka kerja Syarikat Pemerolehan Tujuan Khas (SPAC) dilakukan. Tindakan tersebut bertujuan meningkatkan kualiti garis panduan sedia ada.

Melalui pelaksanaan itu, ia kan memudahkan akseskepada pengumpulan dana di Malaysia – yang merupakan sebahagian daripada usaha untuk perkasakan pembangunan pasaran negara.

Menurut Pengerusi SC, Datuk Syed Zaid Albar – penilaian semula ini untuk memastikan garis panduan tersebut kekal relevan dan berpotensi merangsang kembali minat dalam penyenaraian serta urusniaga yang melibatkan aturan SPAC. Ini secara langsung akan memberi akses yang meluas kepada para penerbit ke atas pasaran modal.

Antara semakan semula yang dilaksanakan adalah;

  • Jumlah minimum dana yang diperlukan untuk dikumpul oleh SPAC melalui tawaran awam awal (IPO) telah dikurangkan daripada RM150 juta kepada RM100 juta
  • Memberi lebih kejelasan bagi membolehkan profesional yang mempunyai pengalaman luas dalam ekuiti swasta dan modal teroka dengan sumber aset dan pengalaman menjalankan urus niaga, untuk mengendalikan SPAC
  • Had untuk kelulusan QA oleh pemegang saham SPAC telah dikurangkan daripada resolusi khas iaitu sekurang-kurangnya kelulusan majoriti 75% kepada kelulusan majoriti mudah oleh semua pemegang saham yang hadir dan mengundi
  • Harga minimum IPO telah dinaikkan daripada RM0.50 kepada RM2.00 untuk memastikan ia menarik minat pelabur yang mampu dan bersedia untuk mengambil risiko unik yang berkaitan dengan pelaburan dalam SPAC
  • Saham baharu yang diterbitkan daripada pelaksanaan waran akan dihadkan kepada tidak lebih daripada 50% daripada jumlah bilangan saham terbitan SPAC

Untuk makluman, semakan semula rangka kerja SPAC ini akan mula berkuat kuasa mula 1 Januari 2022 dan sebarang perincian lanjut perubahan pada garis panduan tersebut – orang awam boleh layari pautan Suruhanjaya Sekuriti Rangka Kerja SPAC.