Artikel

MyMy Penyedia Dompet Digital Tempatan, Bakal Masuki Fasa Beta Perkenal Inovasi Produk Kewangan

MyMy, syarikat fintech dan penyedia dompet digital tempatan kini memperkenalkan ciri-ciri kad dan aplikasinya, selari dengan kesediaannya untuk memasuki fasa Ujian Beta yang dijadualkan pada Januari 2022 kelak. 

Penawaran utama MyMy ini merangkumi kad prabayar tiada nombor yang meningkatkan lagi tahap keselamatan bagi transaksi pembayaran fizikal. Bagi transaksi dalam talian pula, MyMy memperkenalkan ciri-ciri biometrik untuk mengesahkan transaksi – satu elemen sekuriti yang menggantikan risiko-risiko yang berkait dengan kaedah pengesahan lain yang merumitkan.

Penampilan produk ini bukan sahaja menjadi alternatif lebih murah berbanding kad debit atau kredit, tetapi ia juga diterima di peringkat global di lebih 80 juta premis perniagaan dan ATM di seluruh dunia, tidak seperti kod QR yang terhad penggunaannya dan hanya diterima di Malaysia.

Pengguna MyMy juga akan lebih selesa dengan keupayaan kawalan pantas tambahan di dalam aplikasinya seperti kunci kad, set semula pin, kawalan buka dan tutup untuk luar negara, transaksi dalam talian dan pembayaran nirsentuh, serta penetapan had dan jumlah yang dibenarkan untuk pengeluaran ATM.

Selaras dengan wawasan Bank Negara Malaysia (BNM) ke arah mewujudkan sistem kewangan yang lebih cekap dan selamat, MyMy terus berinovasi dengan teknologi dan dijangka akan mengumumkan lebih banyak lagi penawaran produk baru dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Untuk makluman, September lalu MyMy telah miliki suntikan modal RM10 juta daripada Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad (Koperasi Tentera), dan pada awal April tahun ini, MyMy juga telah menerima kelulusan bersyarat untuk lesen wang elektronik daripada BNM.