Artikel

Seramai 1.87 Juta Pekerja Berpendidikan Tinggi Di Malaysia, Tidak Miliki Kerjaya Setara Kemahiran

Selain memulihkan semula aturan ekonomi negara, Malaysia turut berdepan cabaran untuk menawarkan peluang pekerjaan kepada buruh negara mengikut tahap pendidikan mereka.

Ketua Perangkawan Negara DOSM Datuk Seri Dr Moh Uzir menyatakan pada sidang maya Forum Pasaran Buruh 2021, ekosistem negara ketika ini memiliki kekurangan permintaan buruh bagi kategori pekerjaan mahir. Ini secara langsung menjawab persoalan kepada mengapa 1.87 juta pekerja yang berpendidikan tinggi kini adalah di bawah kategori pekerjaan separa mahir dan kemahiran rendah.

Laporan menunjukkan situasi negara terus alami ketidaktentuan susulan kehadiran COVID-19. Di mana tidak hanya Malaysia, bahkan seluruh negara antarabangsa turut berdepan kekangan penawaran bagi kategori kemahiran tinggi.

Pada masa yang sama, dari aspek gaji dan upah DOSM meneliti penetapan kadar ini pula dijangka akan menjadi lebih rendah berikutan permintaan pertumbuhan yang masih perlahan. Bagaimanapun ia bergantung akan perubahan aliran global dari semasa ke semasa.

Setakat ini, paras pengangguran negara telah menurun kepada 4.3% bagi Oktober 2021 dengan seramai 705,000 penganggur direkodkan.