Ketirisan rantaian bekalan dan risiko ekonomi ketika ini telah menuntut semua syarikat, meluaskan empayar pengeluaran bagi memenuhi permintaan pasaran. Situasi kekurangan ini dijangka berlarutan sehingga 2023 kelak. Maka tindakan perluasan harus disegerakan.
Kini lebih AS$7 bilion akan diperuntukan Intel Corp pada segmen semikonduktor negara, ia merangkumi pembangunan kilang baharu pengujian dan pembungkusan cip yang dijangka mulai beroperasi tahun 2024.
Pelaburan sekitar RM30 bilion turut dilihat dapat mewujudkan lebih 4,000 peluang pekerjaan Intel bersama lebih 5,000 peluang pekerjaan pada sektor pembuatan negara. Tindakan ini seiring dengan matlamat antara Malaysia dan Amerika Syarikat untuk meningkatkan jaminan bekalan semikonduktor dan memperkasa sektor pembuatan pada ekonomi global.
Untuk makluman, industri pemasangan cip Malaysia telah menyumbang pada perdagangan global dengan nilai lebih AS$20 bilion. Adanya kesepakatan ini, ia berupaya membuka peluang negara untuk meneroka dan meningkatkan pembekalan ke peringkat antarabangsa.