Artikel

Yamaha Perkasa Penawaran EV Pada Pasaran Asia, Termasuk Malaysia Menjelang Mac 2022

Bertepatan dengan visi kelestarian hijau, pelbagai jenama kenderaan kini mula meluaskan pengeluaran produk kepada segmen kenderaan elektrik (EV). Tindakan yang sama turut disertai oleh Yamaha Motor Corp, dengan menampilkan penggunaan skuter elektrik tidak lama lagi.

Tindakan penawaran EV ini adalah bertujuan memenuhi permintaan pengguna ketika era COVID-19. Pihak Yamaha melihat, permintaan ini akan terus meningkat susulan kebimbangan orang awam terhadap penggunaan pengangkutan awam masih tinggi. Maka kemudahan seperti motorsikal dan skuter elektrik berupaya membantu perjalanan mereka.

Lebih menarik, antara negara Asia yang jadi tumpuan pada penawaran produk ini, adalah pasaran Malaysia. Ia dijangka akan memasuki pasaran menjelang musim bunga tahun hadapan, iaitu Mac 2022 hingga Jun 2022. Selain pasaran tempatan, pasaran Indonesia, Thailand, dan China juga akan menerima kemasukan yang sama.

Bahkan perluasan ini tidak hanya melibatkan negara Asia, pasaran Eropah turut jadi tumpuan Yamaha Motor.

Melalui strategi penawaran produk ini, ia selari dengan jangkaan global pada laporan Quice Market Insights yang menyatakan pasaran motorsikal dan skuter elektrik akan berkembang sekitar 33% sehingga tahun 2030. Matlamat Yamaha pada pasaran adalah untuk membekalkan pengeluaran mereka 90% menjelang 2050 kelak.

Meskipun masih terdapat pelbagai usaha untuk memperkasa segmen EV, namun Yamaha menyasarkan perniagaan ini akan menjadi segmen yang menguntungkan dalam tempoh 5 tahun mendatang.