Artikel

Lebih 50% Rumah Di Malaysia Tidak Dilindungi Sebarang Insurans, Berdepan Risiko Banjir Dan Kebakaran

Tahukah anda, Malaysia menempatkan hampir 5.8 juta hartanah kediaman di negara tetapi sekitar 50% rumah yang didiami penduduk tidak memiliki perlindungan insurans. Perkara ini secara langsung menunjukkan betapa tingginya risiko bahaya kepada semua pihak, sekiranya berlaku bencana yang tidak diingini.

Tinjauan Zurich Malaysia bersama sokongan laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ternyata mengejutkan apabila 59% pemilik rumah di negara tidak dilindungi sekiranya berlaku kebakaran. Berdasarkan data, pihak bomba menerima 38,865 panggilan meliputi kes kebakaran pada 2020, purata satu panggilan adalah setiap 14 minit. Kerugian yang dianggarkan adalah berjumlah RM2.25 billion, jauh lebih rendah berbanding 2019 iaitu RM3.61 billion.

Manakala bagi isu banjir pula, amat mengejutkan apabila 74% pemilik rumah tidak memiliki perlindungan terhadap kerosakan akibat banjir. Melalui data sokongan bersama laporan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tinjauan menganggarkan 4.8 juta orang tinggal di kawasan berisiko banjir di seluruh negara. Semasa monsun timur laut bagi tahun 2020-2021, banjir telah menyebabkan 42,947 orang kehilangan tempat tinggal dan telah menjejaskan 11,973 keluarga.

Pada masa yang sama, Zurich turut menyedari sekitar 43% pemilik rumah tidak mengetahui bahawa walaupun mereka menyediakan insurans perlindungan kediaman namun tiada semua platform insurans melindungi kandungan isi rumah mereka seperti barangan perabot dan perkakasan.

Hanya 13% pemilik rumah sahaja memiliki pelan perlindungan berasingan untuk kediaman dan perlindungan kandungan rumah. Melihat pada carta ini seharusnya pendedahan yang lebih luas dikembangkan kepada semua pemilik rumah di Malaysia.

Kekurangan pengetahuan berhubung kepentingan perlindungan rumah berupaya memberi meningkatkan kerugian kepada mereka, khususnya ketika berlaku situasi yang tidak dijangka.