Artikel

Cars24 Sedia Masuki Pasaran Indonesia – Ingin Tingkatkan Persaingan Antara Carsome, Carro

Kemunculan platform dagangan kereta secara atas talian seperti Carsome Malaysia dan Carro Singapura telah berjaya mencuri perhatian pemain industri untuk beri persaingan pada segmen ini. Antaranya adalah unicorn milik India, Cars24 yang kini telah melebarkan kedudukannya di Thailand dan menyasarkan akan memasuki pasaran Indonesia menjelang 2022 kelak.

Cars24, startup unicorn yang memiliki sokongan daripada Softbank dan Tencent kini telah memperuntukkan lebih AS$100 juta dana bagi strategi perkembangan entiti ke pasaran antarabangsa. Untuk makluman, Jun lalu ia telah memasuki serta memulakan operasi syarikat di Australia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Menurut perancangan persaingan ia akan mengfokuskan pengukuhan pada pasaran Thailand dan Indonesia sebelum melebarkan empayar ke seluruh rantau yang memiliki sekitar 650 juta populasi ini.

Meskipun nilai pasaran India dan Asia Tenggara memiliki purata sama sekitar AS$50 bilion hingga AS$60 bilion, namun perbezaan dinamik dan kadar pertumbuhan yang tinggi itu menjadikan segmen pasaran ini miliki potensi tersendiri.

Langkah Cars24 ini secara langsung akan memberi persaingan menarik kepada Carsome dan Carro. Seperti yang umum ketahui, tahun ini Carro mengumumkan Softbank telah mengetuai pusingan pembiayaan Siri C berjumlah AS$360 juta, yang merangkumi pembangunan EV yang berpangkalan di Indonesia – sementara itu Carsome pula memaklumkan penutupan pusingan pembiayaan Siri D2 bernilai AS$170 juta, menjadikan penilaian syarikat kepada AS$1.3 bilion dan ia mendorong kedudukannya selaku unicorn teknologi terbesar di Malaysia.

Tidak hanya Cars24, kedua-dua entiti itu juga turut beri tumpuan pada penaklukan pasaran di Thailand dan Indonesia.